اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Rasanya dah lama tidak menulis di blog ini. Terlalu banyak halangan; dalaman dan luaran, yang mengganggu usaha ini. InsyaAllah, untuk kali ini, hendak menyampaikan sebuah kisah. Kisah ini disampaikan semasa khutbah Jumaat hari iniTha'labah bin Abdul Rahman
Pada zaman Rasulullah S.A.W., terdapat seorang remaja berusia 17 tahun, bernama Tha'labah bin Abdul Rahman. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Tha'labah, dan beliau akan mencari barang tersebut.Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup kuat membuatkan pintu rumah dan pintu tandas rumah tersebut terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
Dengan pantas beliau berpaling serta berkata, "A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat Quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."
Dia merintih dan takut sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.
Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak langsung kembali. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.
Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat Quran tentang dosaku, sudahkah Jibril beritahu kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.
Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "Kenapa wahai Tha'labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.
"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "Wahai Tha'labah, aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan yang luas kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "Kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."
Ibrah
Jika kita lihat daripada kisah tersebut, Tha'labah hanyalah remaja semasa beliau memeluk Islam. Namun begitu, beliau begitu teliti terhadap bahagian dosa. Daripada kisah ini, beliau hanyalah TERlihat wanita tersebut mandi. Bukannya beliau sengaja mengintai. Namun begitu, beliau telah rasa terlalu bersalah terhadap Allah dan Rasulullah hingga beliau tidak sanggup bertemu baginda.Sifat inilah yag perlu ada dalam diri kita, seorang Muslim yang sejati. Kita perlulah menganggap setiap dosa itu amatlah berat. Jangan ambil sambil lewa hingga apabila bergelumang dalam dosa pun kita tidak kisah. Kita perlu tahu, setiap dosa yang kita lakukan akan membawa kita semakin jauh daripada Allah. Namun, kita juga perlulah tahu yang Allah juga Maha Pengampun.
InsyaAllah sampai di sini sahaja untuk kali ini. Moga ianya memberi manfaat kepada pembaca sekalian.Semoga bertemu di lain kali, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment