Friday, 28 June 2013

Marhaban Ya Ramadhan

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Ini bingkisan daripada khutbah Jumaat pada hari ini. Moga ianya bermanfaat.

Tetamu Istimewa

Cuba bayangkan, pada suatu hari, seseorang yang berkedudukan/berpangkat tinggi akan datang ke rumah anda. Tak kisahlah dia seorang Dato’, PM, Ustaz, Mufti atau apa sekalipun, tetapi dia seseorang yang kita hormati. Sudah semestinya kita akan mempersiapkan kediaman kita untuk kedatangan beliau. Kita akan pastikan segala perabot disusun kemas. Singki kosong tanpa sebarang pinggan mangkuk kotor di dalamnya. Tandas dibersihkan dari sebarang kotoran. Makanan yang enak2 akan dihidangkan. Bagi yang berkeluarga, mungkin akan menyuruh anak2 mereka untuk berkelakuan baik di hadapan orang tersebut.
Baiklah, sekarang cuba gantikan orang tersebut dengan Ramadhan. Allah Azzawajalla telah memberikan kepada umat Islam, yakni kita dengan kedatangan satu bulan yang terlalu istimewa. Bulan yang di mana turunnya al-Quran Karim.

Zaman Rasulullah SAW

Pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat amatlah menunggu2 kedatangan bulan yang mulia ini. 6 bulan sebelum tibanya Ramadhan, mereka telah mula untuk berdoa kepada Allah agar mereka dipertemukan dengannya. Mereka sudah mulakan persediaan mereka 6 bulan sebelum. Semasa bulan Ramadhan, tidak perlulah kita ceritakan betapa mereka menggunakan sepenuh masa sebulan itu. Dan, setelah tamatnya Ramadhan, mereka akan berdoa kepada Allah agar amalan mereka selama sebulan itu agar diterima. Dan ini dilakukan mereka selama 6 bulan. Betapa mereka begitu menghargai nikmat/ganjaran/keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah ini.

Persediaan

Seharusnya, apabila semakin hampir dengan bulan Ramadhan, seperti mana contoh yang diberikan, perlulah kita melakukan persediaan yang rapi. Perlulah kita menyediakan fizikal, mental serta rohani kita untuk menghadapi bulan yang mulia ini. Perlulah kita menyediakan diri dengan amalan2 seperti perbanyakkan pembacaan al-Quran, mula melatih diri solat malam untuk melakukan tarawih kelak, memperbanyakkan puasa sunat agar kita tidak terasa kekok berpuasa nanti, menggantikan puasa yang lepas atau bayar fidyah dan sebagainya. Mula menyediakan kurma bagi berbuka puasa bagi mengikut sunnah baginda. Dan pelbagai lagi persediaan yang boleh kita lakukan.

Hakikatnya

Namun begitu, masyarakat Islam, terutama di Malaysia kurang persediaannya untuk menghadapi Ramadhan. Banyaknya yang lebih melakukan persediaan menjelang Aidilfitri. Bukan hendak kata salah, tidak. Tetapi, pada hakikatnya, Ramadhan itu lebih penting lagi berbanding Syawal. Melakukan persediaan raya yang terlampau hinggakan 10 malam terakhir Ramadhan diisi dengan berjaga malam untuk menyiapkan kuih2 raya, juadah raya, menukar langsir, menjahit baju baru dan sebagainya. Seperti dikatakan sebelum ini, bukan hendak kata salah, tetapi kurangkanlah sedikit. Fokus kepada yang lebih penting, yakni Ramadhan.

Konklusinya

InsyaAllah, pada Ramadhan kali ini, kita bolehlah melakukan perubahan. Jangan ulangi kesilapan yang dilakukan dahulu. Meskipun tinggal beberapa hari lagi menjelang Ramadhan, kita masih boleh cuba melakukan persediaan. Jangan membazir masa lagi, kerana telah suntuk. Banyakkan berdoa kepada Allah agar dipertemukan kita dengan Ramadhan kali ini. Kita tidak tahu jika Allah ingin menarik nyawa kita mungkin malam sebelum 1 Ramadhan. Itu semua kerja Allah. Jadi mohonlah kepada Allah; itu juga merupakan satu cara persediaan kita.

InsyaAllah sampai di sini sahaja untuk kali ini. Moga kita semua dipertemukan dengan Ramadhan kali ini, dan kita dapat menggarap segala kebaikan yang Allah limpah ruahkan pada bulan itu.

Friday, 21 June 2013

Tha'labah bin Abdul Rahman

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Rasanya dah lama tidak menulis di blog ini. Terlalu banyak halangan; dalaman dan luaran, yang mengganggu usaha ini. InsyaAllah, untuk kali ini, hendak menyampaikan sebuah kisah. Kisah ini disampaikan semasa khutbah Jumaat hari ini (khatib tak pakai skrip). Semasa mendengar kisah tersebut, bulu roma habis meremang dan hampir menangis. Mungkin kerana penyampaian daripada khatib tersebut amatlah bagus.

Tha'labah bin Abdul Rahman

Pada zaman Rasulullah S.A.W., terdapat seorang remaja berusia 17 tahun, bernama Tha'labah bin Abdul Rahman. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Tha'labah, dan beliau akan mencari barang tersebut.

Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup kuat membuatkan pintu rumah dan pintu tandas rumah tersebut terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.

Dengan pantas beliau berpaling serta berkata, "A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat Quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."

Dia merintih dan takut sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.

Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak langsung kembali. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.

Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat Quran tentang dosaku, sudahkah Jibril beritahu kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.

Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "Kenapa wahai Tha'labah?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"

"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"

"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"

"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "Wahai Tha'labah, aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.
Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan yang luas kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"


Rasulullah menjawab, "Kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Ibrah

Jika kita lihat daripada kisah tersebut, Tha'labah hanyalah remaja semasa beliau memeluk Islam. Namun begitu, beliau begitu teliti terhadap bahagian dosa. Daripada kisah ini, beliau hanyalah TERlihat wanita tersebut mandi. Bukannya beliau sengaja mengintai. Namun begitu, beliau telah rasa terlalu bersalah terhadap Allah dan Rasulullah hingga beliau tidak sanggup bertemu baginda.

Sifat inilah yag perlu ada dalam diri kita, seorang Muslim yang sejati. Kita perlulah menganggap setiap dosa itu amatlah berat. Jangan ambil sambil lewa hingga apabila bergelumang dalam dosa pun kita tidak kisah. Kita perlu tahu, setiap dosa yang kita lakukan akan membawa kita semakin jauh daripada Allah. Namun, kita juga perlulah tahu yang Allah juga Maha Pengampun.

InsyaAllah sampai di sini sahaja untuk kali ini. Moga ianya memberi manfaat kepada pembaca sekalian.Semoga bertemu di lain kali, insyaAllah.