Thursday, 24 January 2013

12 Rabiul Awal 1434 Hijrah...


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Alhamdulillah, Allah telah mempertemukan kita sekali lagi pada hari yang bermakna dan mulia ini. Hari ini, Khamis bertarikh 24 Januari 2013. Sekali pandang, bukankah ini hari biasa, yang berbeza cuma ada cuti. Tapi, dari segi Islam nya, hari ini bertarikh 12 Rabiul Awal 1434 Hijrah. Hari ini merupakan hari kelahiran junjungan besar kita, iaitu Nabi Muhammad SAW. Seorang manusia agung, yang merupakan kekasih Allah dan juga pesuruh Allah. Seorang manusia yang telah memikul tanggungjawab bagi menyebarkan agama Islam.

Sebagai umat Islam, dan umat Muhammad, baginda sepatutnya menjadi yang kedua dalam senarai kecintaan kita, selepas Allah SWT. Dalam rukun Islam yang pertama, yakni mengucap dua khalimah Syahadah, kita ada bersaksi kenabian baginda selepas kita bersaksi ketuhanan Allah. Ini menunjukkan betapa istimewanya baginda dalam agama itu sendiri.

Berbincang tentang kecintaan kita terhadap baginda, pada akhir zaman ini, terutama sekali setelah kewafatan baginda, umat Muhammad tidak dapat lagi bertemunya. Tidak dapat bertentang mata dengannya. Tidak dapat bertanyakan soalan secara terus kepada baginda. Dan bermacam-macam lagi kesempatan yang kita telah terlepas. Namun begitu, baginda telah meninggalkan kepada kita al-Quran, al-Sunnah serta sirah beginda untuk menjadi tatapan kita. Ada riwayat yang mengatakan Rasulullah SAW sendiri amat merindui untuk bertemu dengan kita, umat akhir zaman (insyaAllah). Baginda ada menyebut bahawa baginda ingin bertemu dengan kita ynag BERIMAN kepada al-Quran serta al-Sunnah, walaupun tidak pernah berjumpa dengan baginda. Kita ini istimewa. Walaupun tidak dapat bertemu Rasulullah di dunia ini, baginda sudah merindui kita.

Dengan itu, seharusnya kita membalas kembali kerinduan Rasulullah dengan mencintai baginda. Di sini ingin diketengahkan beberapa sebab mengapa kita perlu mencintai baginda.

1 - Baginda mencintai umatnya.
Rasulullah merupakan seorang manusia yang penyayang. Baginda sering mendahulukan orang lain sebelum dirinya sendiri. Sebuah kisah yang terkenal adalah ketika baginda hampir wafat. Diriwayatkan bahawa baginda berkata "Ummati, Ummati, Ummati" yang bermaksud 'Umatku, Umatku, Umatku'. Walau dihujung nyawa baginda, baginda masih lagi memikirkan tentang kita. Betapa pentingnya kita dalam hati baginda.

2 - Baginda pemberi syafaat di Akhirat.
Kita manusia yang hina. Sering melakukan dosa dan sering melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan kita sukar untuk memasuki syurga Allah. Namun begitu, baginda Rasulullah SAW telah diberi oleh Allah kelebihan untuk memberi syafaat kepada kita di Akhirat kelak. Jika kita tidak mencintai baginda, adakah kita akan mendapat syafaat tersebut. Kita mungkin akan terjerumus ke neraka (Na'uzubillah). Namun, dengan syafaat baginda, insyaAllah, kita akan mampu ke syurga.

3 - Baginda dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi.
Baginda amatlah disayangi oleh penduduk-penduduk langit, seperti para malaikat. Mereka mengucapkan selawat kepada baginda.

4 - Baginda dimuliakan oleh sahabat dan lawan.
Para sahabat dengan tidak syak lagi memandang tinggi terhadap baginda. Mereka melayannya dengan begitu baik. Sehingga ramai dikalangan mereka yang sanggup mengorbankan nyawa mereka bagi melindungi baginda. Dari pandangan pihak lawan, mereka menghormati baginda yang merupakan pemimpin dan panglima perang yang hebat, serta seorang yang baik hati walaupun terhadap lawan.

Kalau ikutkan memang banyak lagi sebab untuk kita memberikan kecintaan kita terhadap baginda, tetapi rasanya 4 sebab inilah sebab utamanya. InsyaAllah moga ianya bermanfaat.
Jika terdapat sebarang kesilapan/kesalahan mahupun kekurangan, dialu-alukan untuk ketengahkannya.

P/S : Sikap kita mungkin tidak sempurna. Akan tetapi kita boleh cuba mencontohi daripada yang terbaik, Rasulullah. Biar kita mula sedikit demi sedikit, asalkan kita istiqamah. Jemput layan video berkenaan itu; Aku Juga Sayang Rasul.

No comments:

Post a Comment